Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

FAKTA TENTANG ROTI CANAI


Sekiranya kita mula bekerja pada umur 20 tahun dan makan sebiji roti canai setiap hari, kita mungkin tidak akan hidup sehingga umur 55 tahun. Kenapa?

Sebiji roti canai mengandungi kalori sama dengan 5 KM berjogging. Maknanya sekiranya kita jogging sejauh 5 km, lepas tu kita sapu sebiji roti canai serupalah kita tak jogging langsung.Dah tu kadang-kadang sapu sampai 2 biji dan langsung tak jogging. Selain dari
itu, terdapat so much oil in roti canai. Nak uli tepung, taruh minyak, nak canai, taruh minyak,nak
goreng taruh minyak. Dah tu, minyak tukang roti pun masuk sekali (peluh dia).

Bila kita exercise, kita peluh. Penyakit keluar bersama peluh, itu pasal kita sihat bila berpeluh.
Sekarang, kita makan tukang roti canai punya penyakit pulak. Lagi satu, jangan makan roti canai yang tukang buatnya pakai cincin sebelah kiri. Faham-faham ajelah. Sebagai alternatif, makanlah capati. Makan 8-10 keping capati sehari pun no problem, anda akan menjadi sihat
dan kuat.

NASI LEMAK

Nasi lemak pulak kandungan santannya tinggi. So cholesterolnya tinggi.Prof. Ungku Aziz ditanya apakah rahsia beliau sihat physical & minda pada umur 85. Dia cakap, dia tak makan atau jarang sekali makan nasi lemak seperti kebanyakkan orang Melayu.

TERBARU MENGANDUNGI MELAMINE

Senarai terbaru barangan mengandungi melamine.
Menurut Kementerian Kesihatan setakat 3 November 2008, produk makanan yang telah dianalisa dan didapati TIDAK mematuhi tahap melamine yang ditetapkan adalah seperti berikut:

  1. Ego White Rabbit Creamy Candy diimport dari Negara China
  2. Vigour 888 Filling Roll (Sergestid Shrimps Flavour) - diimport dari Negara China
  3. Taro Biscuits (Bairong) - diimport dari Negara China
  4. Potato Cracker (Silang)- diimport dari Negara China
  5. Biskut Lemon Puff - dikilangkan oleh Khong Guan Biscuit Factory Sdn Bhd
  6. Biskut Butter Cream - dikilangkan oleh Khong Guan Biscuit Factory Sdn Bhd
  7. Biskut Cocoa Puff - dikilangkan oleh Khong Guan Biscuit Factory Sdn Bhd
  8. Biskut Lemon Pof - dikilangkan oleh Khong Guan Biscuit Factory Sdn Bhd
  9. Biskut Family Crackers - dikilangkan oleh Khong Guan Biscuit Factory Sdn Bhd
  10. Biskut Baby Fish - dikilangkan oleh Khong Guan Biscuit Factory Sdn Bhd
  11. Biskut Soda - dikilangkan oleh Khong Guan Biscuit Factory Sdn Bhd
  12. Biskut Bentuk Binatang - dikilangkan oleh Khong Guan Biscuit Factory Sdn Bhd
  13. Biskut Rokok - dikilangkan oleh Khong Guan Biscuit Factory Sdn Bhd
  14. Biskut Healthy Cracker - dikilangkan oleh Khong Guan Biscuit Factory Sdn Bhd
  15. Biskut Sandwich Oren - dikilangkan oleh Khong Guan Biscuit Factory Sdn Bhd
  16. Biskut Mini Puff - dikilangkan oleh Khong Guan Biscuit Factory Sdn Bhd
  17. Biskut Creamy Chocolate - dikilangkan oleh Khian Guan Biscuit Manufacturing Co Sdn Bhd
  18. Biskut Jagung Puff - dikilangkan oleh Khian Guan Biscuit Manufacturing Co Sdn Bhd
  19. Biskut Ais Jem - dikilangkan oleh Khian Guan Biscuit Manufacturing Co Sdn Bhd
  20. Biskut Marie Besar - dikilangkan oleh Khian Guan Biscuit Manufacturing Co Sdn Bhd
  21. Biskut ABC - dikilangkan oleh Khian Guan Biscuit Manufacturing Co Sdn Bhd
  22. Biskut Tasty Cracker - dikilangkan oleh Khian Guan Biscuit Manufacturing Co Sdn Bhd
  23. Zoological Biscuit - dikilangkan oleh Khian Guan Biscuit Manufacturing Co Sdn Bhd
  24. Biskut Square Puff - dikilangkan oleh Khian Guan Biscuit Manufacturing Co Sdn Bhd
  25. Biskut Sandwich Oren - dikilangkan oleh Khian Guan Biscuit Manufacturing Co Sdn Bhd
  26. Supercrown Cracker - dikilangkan oleh Khian Guan Biscuit Manufacturing Co Sdn Bhd
  27. Healthy Puff - dikilangkan oleh Khian Guan Biscuit Manufacturing Co Sdn Bhd
  28. Biskut Mini Puff - dikilangkan oleh Khian Guan Biscuit Manufacturing Co Sdn Bhd
  29. Biskut Campuran(Party) - dikilangkan oleh Khian Guan Biscuit Manufacturing Co Sdn Bhd
  30. Biskut Gem - dikilangkan oleh Khian Guan Biscuit Manufacturing Co Sdn Bhd
  31. Swiss Cookie - dikilangkan oleh Khian Guan Biscuit Manufacturing Co Sdn Bhd
  32. Biskut Lemon Puff - dikilangkan oleh Khian Guan Biscuit Manufacturing Co Sdn Bhd
  33. Biskut Cocoa Puff - dikilangkan oleh Khian Guan Biscuit Manufacturing Co Sdn Bhd
  34. Biskut Chicken Egg - dikilangkan oleh Khian Guan Biscuit Manufacturing Co Sdn Bhd
  35. Biskut Le Mond Puff Berkrim Perisa Limau (Julie’s Brand) - dikilangkan oleh Perfect Food Manufacturing
  36. Biskut Gula/Sugar Crackers (Julie’s Brand) - dikilangkan oleh Perfect Food Manufacturing
  37. Wheat Crackers (Julie’s Brand) - dikilangkan oleh Perfect Food Manufacturing
  38. Cheese Cracker (Julie’s Brand) - dikilangkan oleh Perfect Food Manufacturing

Senarai di atas adalah yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, untuk melihat senarai negara lain sila rujuk Official test failures of the 2008 Chinese milk scandal.

MELAKA & GEORGETOWN TAPAK WARISAN DUNIA

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Majlis penyerahan watikah pengisytiharan Melaka dan Georgetown, Pulau Pinang sebagai tapak warisan dunia akan diadakan di Dataran Merdeka pada Ahad ini.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dijangka berkenan menyempurnakan majlis tersebut yang akan bermula pada pukul 7.45 malam.

Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dalam kenyataannya di sini memberitahu, majlis itu diadakan bagi meraikan pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) terhadap kedua-dua bandar tersebut pada 7 Julai lalu.

"Pengiktirafan ini merupakan yang pertama kali ke atas tapak warisan di bawah kategori kebudayaan," kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, upacara penerimaan plak dan watikah pengiktirafan daripada pihak UNESCO kepada kerajaan Malaysia akan diadakan dengan penuh adat istiadat kerajaan Melayu lama termasuk perarakan bergajah dan berkuda.

"Turut diadakan perarakan dan persembahan kebudayaan dengan penyertaan masyarakat berbilang-bilang kaum dan budaya seperti perarakan Baba Nyonya, Chetti, Portugis, Chingay dan lain-lain.

"Ia bagi menonjolkan nilai warisan yang terdapat di kedua-dua negeri terbabit terutama di kawasan yang diiktiraf sebagi warisan dunia oleh UNESCO," katanya.

Selain itu, terdapat juga perarakan kereta berhias seperti pertukangan besi, makanan warisan, perusahaan tradisi dan pertukangan tangan, perarakan beca berhias, kereta lembu dan pertunjukan bunga api.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir untuk bersama-sama memeriahkan majlis selain berhibur bersama artis-artis jemputan seperti Alleycats, Ziana Zain dan Mila AF5.

BISKUT MENGANDUNGI MELAMIN

Biskut mengandungi bahan melamin dilupuskan di Seberang Perai Utara (SPU)

BUTTERWORTH 17 Nov. - Jabatan Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara (SPU) hari ini melupuskan 12,000 kilogram biskut bernilai lebih RM83,400 kerana didapati mengandungi bahan melamin melebihi piawaian yang dibenarkan.

Proses tersebut turut membabitkan pelupusan 8,400 kilogram bahan penaik amonia bikarbonat dari China yang digunakan oleh dua buah kilang biskut di negeri bagi menghasilkan produk itu.

Pelupusan bahan berkenaan dibuat susulan pemantauan dan analisis makmal yang dilakukan jabatan itu sejak September lalu terhadap empat jenis biskut keluaran dua kilang terbabit.

Pegawai Jabatan Kesihatan SPU, Dr. Shaari Saad berkata, pihaknya juga sudah mengarahkan dua kilang berkenaan menarik balik biskut-biskut keluaran mereka dari pasaran untuk dilupuskan dalam masa terdekat.

''Kita sudah minta mereka (pengilang) supaya tidak memasarkan produk yang dicemari bahan itu (melamin) dan biskut yang sudah dipasarkan pula ditarik balik untuk dilupuskan.

''Setakat ini, dua kilang terbabit memberi kerjasama yang amat baik dan akan melupuskan sendiri biskut berkenaan dengan pemantauan Jabatan Kesihatan," katanya ketika ditemui di tapak pelupusan sampah Ampang Jajar di sini hari ini.

Kementerian Kesihatan baru-baru ini, melarang serta-merta pengimportan bahan penaik amonia bikarbonat dari China berikutan bahan itu didapati mempunyai tahap melamin melebihi piawaian yang dibenarkan.

Serentak itu, kementerian juga mengarahkan supaya 20 jenis biskut yang dikenal pasti mengandungi bahan melamin ditarik balik dari pasaran.

Dr. Shaari berkata, pelupusan biskut dan bahan penaik tersebut dilakukan mengikut Akta Makanan 1983 pindaan 2001.

Menurut beliau, pihaknya sudah menjalankan pemantauan terhadap semua jenis biskut di pasaran dan sehingga kini masih membuat pemeriksaan rutin termasuk di kedai runcit dan pusat-pusat beli-belah.

Ditanya mengenai tindakan yang akan dikenakan ke atas pengilang terbabit, Dr. Shaari berkata, kedua-dua pengilang berkenaan sudah memberi kerjasama dengan baik untuk menarik balik produk mereka dari pasaran sebelum melupuskannya.

''Mereka (pengilang) sebenarnya tidak mengetahui biskut yang mereka hasilkan mengandungi melamin yang tinggi ekoran penggunaan amonia bikarbonat berkenaan," jelasnya.

SIAPA BARACK OBAMA ?

Ramai yang telah mengetahui siapa bakal Presiden Amerika Syarikat yang ke-44. Tetapi tidak ramai yang mengetahui siapa sebenarnya Barack Obama.Siapa keluarganya,latar belakang Barack Obama, biodata Barack Obama dan lain-lain lagi. Di bawah ini dinyatakan latar belakang bakal Presiden Amerika Syarikat itu.

Latar belakang

Bakal Presiden AS yang ke-44 ini mengakui beliau sememangnya melalui detik yang sukar ketika zaman kanak-kanak berikutan episod perpisahan keluarga dan perpindahan yang kerap serta melalui zaman remaja yang agak liar.

Obama dilahirkan di Pusat Perubatan Wanita dan Kanak-kanak Kapi’olani di Honolulu, Hawaii pada 4 Ogos 1961.

Bapanya Barack Hussein Obama Sr. berasal dari pekan Nyang’oma Kogela dalam wilayah Nyanza, Kenya dan berketurunan Luo, manakala ibunya Ann Dunham merupakan seorang wanita kulit putih berasal dari Wichita, Kansas.

Kedua-dua mereka bertemu ketika sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Hawaii di Manoa pada 1960 dan kemudiannya berkahwin pada 2 Februari 1961.

Bagaimanapun kedua-dua mereka berpisah pada 1964. Bapanya kemudiannya pulang ke Kenya dan hanya sempat berjumpa dengan Obama sekali sebelum meninggal dunia pada 1982 dalam satu kemalangan jalan raya.

Selepas berpisah, ibunya kemudiannya berkahwin dengan seorang lelaki Indonesia, Lolo Soetoro dan berpindah ke Indonesia pada 1967.

Bapa tirinya bekerja sebagai pegawai di pejabat Geografi dan Topografi Angkatan Darat, Tentera Nasional Indonesia (TNI).

Obama kemudian mendapat pendidikan awal di beberapa sekolah di tengah-tengah bandar Jakarta.

Sekolah pertama beliau ialah St. Francis Assisi Catholic dan Obama didaftarkan dengan nama Barry Soetoro. Obama mendaftar di sekolah ini di kelas 1B pada 1 Januari 1968 sehingga darjah tiga.

Malah berdasarkan dokumen pendaftaran, beliau telah didaftarkan sebagai seorang penganut Islam dan merupakan warganegara Indonesia.

Pada 1970, beliau berpindah ke Sekolah Rendah Percobaan Besuki, Menteng, Jakarta serta menetap di sebuah rumah sederhana di Jalan Dempo, Matraman, Jakarta.

Kenalan di sekolahnya mengenali Obama dengan nama Barry dan beliau sememangnya dikenali sebagai seorang yang peramah dan bijak.

Pengalaman beliau ketika menetap di Indonesia digunakan oleh sekutunya dalam pilihan raya ini, John McCain untuk mengaitkan Obama sebagai seorang penganut agama Islam dan merupakan pengamal setia ajarannya.

Obama menafikannya. Namun berikutan aura dan ketokohan beliau yang terlalu hebat segala taktik kotor yang digunakan oleh McCain gagal mencalarkan rekod dan kepercayaan orang ramai terhadap beliau.

Kembali ke Hawaii

Obama kemudian kembali ke Hawaii pada usia 10 tahun dan menetap bersama datuk dan neneknya.

Beliau menyambung pelajarannya di Sekolah Punahou dari 1971 hingga menamatkan sekolah tingginya pada 1979, manakala ibunya kembali ke Indonesia untuk menyiapkan tesis kedoktoran pada 1972.

Sebagai seorang remaja beliau mengakui pernah terjebak dalam kegiatan penagihan dadah seperti marijuana dan kokain ketika di sekolah tinggi serta turut terpengaruh dengan alkohol.

Namun Obama tanpa segan silu mengakui penglibatan beliau pada ketika itu merupakan kesilapan moral terbesar yang pernah dilakukan sepanjang hidupnya.

Selepas menamatkan sekolah tinggi, Obama berpindah ke Los Angeles untuk melanjutkan pengajian di Kolej Occidental selama dua tahun. Beliau kemudiannya dipindahkan ke Universiti Columbia di New York untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains politik dengan pengkhususan hubungan antarabangsa pada 1983.

Beliau kemudian meraih pengalaman bekerja di beberapa syarikat antaranya di Business International Corporation dan New York Public Interest Research Group.

Selepas empat tahun di sini, beliau kemudian berpindah ke Chicago dimana beliau dilantik sebagai pengarah projek pembangunan masyarakat di sebuah organisasi gereja di Greater Roseland pada 1985 hingga 1988.

Beliau berjaya menonjolkan kebolehannya membangunkan projek ini dari hanya seorang pekerja pada awalnya kepada 13 orang dengan bajet tahunannya meningkat dari AS$70,000 (RM224,000) kepada AS$400,000 (RM1.28 juta) serta pelbagai penambahbaikan lain antaranya program tuisyen dan latihan pekerja.

Pada 1988, Obama buat pertama kali mengembara ke Eropah selama tiga minggu sebelum pulang ke kampung halaman bapanya di Kenya selama lima minggu untuk berjumpa sanak-saudara dan ahli keluarganya di sana.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Undang-Undang di Universiti Harvard pada 1988 dan pada penghujung tahun pertama beliau dipilih sebagai editor di makalah Harvard Law Review berdasarkan markah dan penulisan beliau yang cemerlang.

Obama kemudiannya dipilih sebagai Presiden makalah tersebut pada tahun kedua pengajiannya, satu jawatan sepenuh masa sebagai ketua Pengarang serta bertindak memantau 80 orang editor lain di makalah tersebut.

Beliau juga mencipta sejarah sebagai presiden pertama makalah tersebut dari golongan kulit hitam. Obama berjaya menamatkan pengajiannya dengan cemerlang di universiti itu pada 1991.

Publisiti yang beliau terima sebagai presiden pertama di Harvard Law Review telah memberi kelebihan dalam perkembangan awal karier politik beliau dan pengiktirafan ini jugalah yang membuatkan beliau lebih dikenali di kalangan penduduk kulit hitam.

Dengan taraf pendidikan yang tinggi mengakibatkan beliau dilihat sangat berbeza dengan ahli politik keturunan kulit hitam sekitar tahun 1960-an yang memulakan karier mereka melalui pergerakan hak asasi manusia.

Ditambah dengan pengalaman dan kisah hidup ketika zaman kanak-kanak serta dengan sejarah keluarganya yang melangkaui sempadan benua menjadikan episod hidup Obama sebagai sesuatu yang sangat unik dan berbeza dengan pemimpin golongan kulit hitam lain.

Kehidupan berkeluarga

Obama bertemu isterinya Michelle Robinson pada Jun 1989 ketika bekerja di firma guaman Sidley Austin di Chicago.

Pada peringkat awal, Michelle yang bertugas sebagai penasihatnya di firma tersebut enggan keluar bertemu janji dan Obama hanya berjaya mengadakan temu janji yang pertama setahun kemudian.

Pada 1991, pasangan bahagia ini mengikat taki pertunangan sebelum akhirnya mereka berkahwin pada 3 Oktober 1992.

Mereka dikurniakan dengan dua anak perempuan iaitu Malia Ann yang kini berusia 10 tahun dan Natasha yang dilahirkan pada 2001.

Keunikan keluarga dan keturunan Obama sememangnya sesuatu yang sangat menarik untuk diperkatakan bilamana beliau menyifatkan ahli keluarganya sebagai “Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mini”.

Ini kerana beliau mempunyai sepupu yang kelihatan seperti pelakon Bernie Mac di sebelah bapanya dan dan makcik yang seiras dengan bekas Perdana Menteri Britain, Margeret Thatcher di sebelah ibunya.

Beliau mempunyai tujuh sepupu di Kenya dari sebelah bapanya dan seorang adik tiri, Maya Soetoro-Ng, yang dilahirkan hasil perkahwinan ibunya dengan bapa tirinya dari Indonesia.

Obama mengakui dirinya sebagai seorang penganut Kristian sejati hanya selepas beliau mencecah usia dewasa.

Obama menggambarkan beliau membesar dalam keluarga yang tidak mengamalkan fahaman agama dan menyatakan ibunya tidak mengamalkan mana-mana ajaran Kristian.

Bapanya pula telah dibesarkan sebagai seorang Muslim namun bertukar sebagai seorang “atheist” ketika kedua ibu bapanya bertemu, manakala bapa tirinya pula pula berpandangan agama sebagai sesuatu yang tidak penting.

Bagaimanapun ketika beliau bekerja di organisasi gereja pada usia sekitar 20-an, barulah beliau mengenal dengan lebih mendalam tentang pengaruh agama dalam perubahan sosial masyarakat kulit hitam dan hanya dibaptiskan pada 1988.

Beliau sememangnya dikenali dengan minat yang mendalam dalam sukan bola keranjang dan pernah menyertai pasukan sekolah tingginya.

Obama turut meluangkan masanya bermain sukan tersebut ketika melawat anggota tentera AS yang berkhidmat di Djibauti pada 2006.

Beliau juga mengakui merupakan seorang perokok tegar namun sebelum melakukan pengumuman sebagai calon Presiden bagi partinya, beliau telah mengumumkan kepada umum tentang usahanya untuk berhenti merokok.

Sebelum berkecimpung dalam politik beliau pernah menjadi pensyarah undang-undang di Universiti Chicago selama beberapa tahun.

Obama juga merupakan seorang yang aktif dalam pelbagai pertubuhan kemasyarakatan dan pernah menganggotai dan menubuhkan pelbagai pertubuhan dan yayasan. Antaranya ialah The Joyce Foundation pada 1994 hingga 2002, Chicago Annenberg Challenge dari 1995 hingga 2002, Lugenia Burns Hope, Center for Neighbourhood Technology dan Chicago Lawyers Committee for Civil Right Under Law.

Kerjaya

Beliau juga menulis beberapa buku dan jurnal dan kekayaan yang beliau miliki sebelum ini kebanyakannya diperoleh dari hasil penjualan bukunya seperti “Dreams from my father” dan “The audacity of hope”.

Beliau dikatakan memperoleh pendapatan sebanyak AS$ 4.2 juta (RM13.4 juta) pada tahun 2007 yang kebanyakannya hasil daripada penjualan buku.

Kerjaya politik Obama bermula setelah dilantik sebagai anggota Senat Illinois mewakili daerah ke-13 pada 1996 dan dilantik semula pada 1998 dan 2002.

Beliau pernah dilantik menjadi pengerusi Senat Illinois bagi Jawatan kuasa Kesihatan dan Khidmat Kemanusiaan pada 2003.

Obama kemudiannya mengumumkan akan bertanding bagi jawatan Senator bagi negeri Illinois dan akhirnya beliau menang dengan majoriti 70 peratus pada pilihan raya 2004 dengan menewaskan calon Republikan Alan Keyes.

Sebaik mengangkat sumpah jawatan tersebut pada 4 Januari 2005, Obama mencatat sejarah sebagai orang kulit hitam kelima dipilih memegang jawatan Senator di AS.

Bagaimanapun cita-cita Obama tidak terhenti setakat itu apabila beliau mengumumkan akan bertanding bagi jawatan Presiden dari Demokrat pada 2007 dan antara calon-calon lain ketika itu termasuklah bekas wanita pertama AS, Hillary Clinton.

Setelah melalui pertarungan sengit Obama akhirnya dipilih oleh anggota Demokrat pada 3 Jun sebagai calon parti itu untuk pilihan raya Presiden dengan majoriti besar.

Dalam Konvensyen Demokrat pada 25 hingga 28 Ogos 2008 Obama memilih Senator berpengalaman dari Delaware, Joe Biden sebagai calon Naib Presiden.

Sepanjang berkempen Obama sentiasa mendahului McCain dalam pelbagai perkara sama ada dari segi populariti, jumlah dana yang diperoleh malah tidak pernah sekalipun McCain mendahului Obama dalam tinjauan pendapat yang dilakukan.

Akhirnya takdir menyebelahi Obama, calon yang dilihat sebagai sangat berkarisma dan mampu membantu menyelesaikan kemelut yang melanda negara ini apabila beliau diisytiharkan sebagai pemenang pilihan raya Presiden AS dengan membolot 349 undi Badan Perwakilan Pemilih berbanding McCain yang hanya memperoleh 163 undi.

Dengan kos perbelanjaan untuk pilihan raya ini yang mencecah lebih AS$1 bilion, jumlah paling besar dalam sejarah pilihan raya, calon pilihan ramai ini berjaya memperoleh kemenangan seperti yang dijangka.

Ini sekali gus mencatat sejarah bahawa warna kulit dan keturunan tidak pernah menjadi halangan untuk melayakkan seseorang itu untuk menjadi antara pemimpin yang hebat seperti yang pernah berlaku dalam lipatan sejarah dunia sebelum ini.