Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Saya orang pertama tuntut bela

PULAU PINANG 29 Mei - "Kalau Chin Peng masuk ke Malaysia, sayalah orang pertama mencarinya untuk menuntut bela atas kekejaman yang dilakukan," luah pesara tentera, Yahya Shafie, 76 tahun.

Menurutnya, kekejaman Parti Komunis Malaya (PKM) tidak mungkin dilupakan oleh bekas Pegawai Waran 1 Pasukan Pertama Meriam Diraja British itu.

Katanya, walaupun sudah dimamah usia, peristiwa yang terjadi sepanjang Chin Peng dan pengikutnya mengganas di Tanah Melayu masih segar dalam ingatan dan menghantui hidupnya sehingga kini.

''Ketika di bangku sekolah saya melihat sendiri kekejaman Chin Peng terhadap orang kampung di Junjong, Kulim termasuk bapa saudara saya dibakar hidup-hidup dengan tangan terikat di stereng lorinya.

''Seluruh anggotanya rentung dan tidak dapat dikenali. Bayangkan hati saya ketika itu," katanya sebak ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seronok, Bayan Lepas di sini.

Menurut Yahya, mereka yang bersetuju Chin Peng dibenarkan pulang adalah orang yang 'buta' mata dan hati serta tidak tahu penderitaan yang dilalui penduduk ketika itu.

''Nama dia pun sepatutnya tidak boleh kita sebut, inikan pula membenarkannya masuk ke negara kita. Adakah patut orang yang membuat kita sengsara dan derita puluhan tahun lamanya, senang-senang kita terima?

''Kekejamannya tidak boleh diterima akal, saya pernah berkhidmat di Indonesia, Brunei dan Hong Kong yang ada komunis, namun kekejaman yang dilakukan Chin Peng pada rakyat Tanah Melayu tidak dapat dibayangkan," katanya yang cedera ditembak di telinga dan perut semasa berjuang menentang komunis.

Menurut beliau, soal membawa pulang Chin Peng tidak sepatutnya dibangkitkan lagi kerana perbuatan itu jelas tidak bertanggungjawab dan hanya akan membuat keluarga veteran perang yang terkorban dan cedera bangkit memberontak.

''Masih terdengar di telinga saya kata-kata Chin Peng kepada pengikutnya bahawa satu hari nanti mereka akan menakluki dunia," katanya.

Zambry kekal Menteri Besar Perak





PUTTRAJAYA 22 Mei - Mahkamah Rayuan hari ini mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Keputusan itu dibuat selepas panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Md. Raus Shariff berpuas hati bahawa Sultan Perak betul ketika melantik Zambry menggantikan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pada 6 Februari lalu.

Dengan itu, mahkamah sebulat suara membenarkan rayuan Zambry terhadap perintah Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) yang mengesahkan sebaliknya terhadap Mohammad Nizar.

Hakim Md. Raus bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop.

Zambry selaku perayu mahupun Mohammad Nizar sebagai responden dalam rayuan itu tidak hadir bagi mendengar keputusan yang mendapat perhatian meluas pihak media dan orang awam.

Hakim Md. Raus ketika membacakan penghakiman itu menyatakan, Sultan Perak betul ketika melantik Zambry berdasarkan Perkara 16(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKNP) 1957 selepas berpuas hati bahawa perayu mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Menurut beliau, Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf mentafsir beberapa peruntukan dalam UTKNP ketika mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar yang sah.

Katanya, kegagalan menilai dan meneliti secara terperinci keseluruhan fakta dan dokumen bertulis yang dikemukakan sepanjang perbicaraan menjadikan perintah yang dikeluarkan itu salah dan wajar diketepikan.

Hakim Md. Raus berkata, Perkara 16(6) UTKNP jelas menunjukkan Sultan Perak mempunyai budi bicara mutlak menolak permohonan Mohammad Nizar untuk membubarkan sidang Dewan.

Menurut beliau, dalam menjalankan budi bicara baginda menolak permohonan itu, Mohammad Nizar bersama-sama barisan Exconya harus meletak jawatan.

Jelasnya, tiada keperluan mendesak dalam UTKNP yang menyatakan bahawa usul tidak percaya perlu dibentangkan terhadap Mohammad Nizar dalam persidangan Dewan.

''Berdasarkan kepada fakta yang dibentangkan ketika perbicaraan, jelas bahawa Mohammad Nizar telah kehilangan sokongan majoriti ahli-ahli Dewan,'' katanya.

Sehubungan itu, mahkamah berpuas hati bahawa Sultan Perak betul ketika menjalankan sesi temu bual bagi memastikan Mohammad Nizar benar-benar kehilangan sokongan majoriti ADUN sebelum membuat keputusan menolak permohonannya membubarkan Dewan.

Zambry merayu terhadap perintah Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim pada 11 Mei lalu yang mengisytiharkan Mohammad Nizar, 52, sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Hakim Abdul Aziz membenarkan permohonan semakan kehakiman Mohammad Nizar agar mahkamah mengisytiharkan beliau masih Menteri Besar yang sah berdasarkan perlembagaan negeri itu kerana beliau yang bertindak menasihati Sultan untuk membubarkan persidangan Dewan.

Alasan-alasan penghakiman Hakim Abdul Aziz antara lain menyatakan Mohammad Nizar masih Menteri Besar yang sah kerana tiada undi tidak percaya dibuat terhadapnya.

Selain itu, Perkara 16(6) UTKNP tidak menyatakan bahawa seseorang Menteri Besar boleh dipecat atau jawatan itu boleh dikosongkan dalam keadaan Mohammad Nizar tidak meletak jawatan.

Bagaimanapun, sehari selepas itu, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Ali membenarkan permohonan Zambry agar perintah Mahkamah Tinggi ditangguhkan sementara menunggu rayuan penuh diputuskan.

Mohammad Nizar yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan selanjutnya mengemukakan permohonan untuk mengetepikan perintah penangguhan yang diperoleh Zambry.

Panel hakim yang bersidang hari ini menolak permohonan tersebut.

Sebaik sahaja keputusan diumumkan, peguam Sulaiman Abdullah memberitahu, pihaknya diarahkan memfailkan kebenaran untuk merayu keputusan itu ke Mahkamah Persekutuan.

Beliau memohon agar mahkamah menyediakan penghakiman bertulis secepat mungkin bagi membolehkan pihaknya memfailkan notis kebenaran merayu.

Hakim Md. Raus memberi jaminan akan menyiapkan penghakiman penuh keputusan itu dalam tempoh seminggu.

Peguam Datuk Cecil Abraham mewakili Zambry manakala Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak sebagai pencelah bagi pihak Kerajaan Malaysia.