Biskut mengandungi bahan melamin dilupuskan di Seberang Perai Utara (SPU)
BUTTERWORTH 17 Nov. - Jabatan Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara (SPU) hari ini melupuskan 12,000 kilogram biskut bernilai lebih RM83,400 kerana didapati mengandungi bahan melamin melebihi piawaian yang dibenarkan.
Proses tersebut turut membabitkan pelupusan 8,400 kilogram bahan penaik amonia bikarbonat dari China yang digunakan oleh dua buah kilang biskut di negeri bagi menghasilkan produk itu.
Pelupusan bahan berkenaan dibuat susulan pemantauan dan analisis makmal yang dilakukan jabatan itu sejak September lalu terhadap empat jenis biskut keluaran dua kilang terbabit.
Pegawai Jabatan Kesihatan SPU, Dr. Shaari Saad berkata, pihaknya juga sudah mengarahkan dua kilang berkenaan menarik balik biskut-biskut keluaran mereka dari pasaran untuk dilupuskan dalam masa terdekat.
''Kita sudah minta mereka (pengilang) supaya tidak memasarkan produk yang dicemari bahan itu (melamin) dan biskut yang sudah dipasarkan pula ditarik balik untuk dilupuskan.
''Setakat ini, dua kilang terbabit memberi kerjasama yang amat baik dan akan melupuskan sendiri biskut berkenaan dengan pemantauan Jabatan Kesihatan," katanya ketika ditemui di tapak pelupusan sampah Ampang Jajar di sini hari ini.
Kementerian Kesihatan baru-baru ini, melarang serta-merta pengimportan bahan penaik amonia bikarbonat dari China berikutan bahan itu didapati mempunyai tahap melamin melebihi piawaian yang dibenarkan.
Serentak itu, kementerian juga mengarahkan supaya 20 jenis biskut yang dikenal pasti mengandungi bahan melamin ditarik balik dari pasaran.
Dr. Shaari berkata, pelupusan biskut dan bahan penaik tersebut dilakukan mengikut Akta Makanan 1983 pindaan 2001.
Menurut beliau, pihaknya sudah menjalankan pemantauan terhadap semua jenis biskut di pasaran dan sehingga kini masih membuat pemeriksaan rutin termasuk di kedai runcit dan pusat-pusat beli-belah.
Ditanya mengenai tindakan yang akan dikenakan ke atas pengilang terbabit, Dr. Shaari berkata, kedua-dua pengilang berkenaan sudah memberi kerjasama dengan baik untuk menarik balik produk mereka dari pasaran sebelum melupuskannya.
''Mereka (pengilang) sebenarnya tidak mengetahui biskut yang mereka hasilkan mengandungi melamin yang tinggi ekoran penggunaan amonia bikarbonat berkenaan," jelasnya.
Latihan Cakap Ajuk Cakap Pindah
9 years ago
No comments:
Post a Comment