Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Tanah Runtuh di Bukit Damansara

Tanah Runtuh di Bukit Damansara.

KUALA LUMPUR: Selepas dua kejadian tanah runtuh dalam seminggu, negara pagi semalam dikejutkan tragedi lebih dahsyat yang meragut empat nyawa apabila sebahagian Taman Bukit Mewah di Hulu Klang dekat sini, runtuh.

Kejadian jam 4 pagi itu menyebabkan 14 rumah banglo mewah di lereng bukit taman berkenaan ranap, mengakibatkan seorang masih tertimbus, manakala 23 lagi termasuk seorang kanak-kanak cedera dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Berikutan tragedi itu, 3,000 hingga 5,000 penduduk sekitar terputus hubungan apabila satu-satunya jalan masuk ke perumahan mereka ditimbus runtuhan tanah membabitkan kawasan seluas lebih empat hektar. Semua mereka dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara selepas beberapa runtuhan susulan dikesan.

Ketika kejadian sebahagian penduduk nyenyak tidur dan dikejutkan bunyi seperti letupan, diikuti gegaran dan pergerakan tanah yang meranapkan 14 rumah terbabit.

Pada 30 November lalu, dua beradik maut tertimbus apabila banglo setingkat di Ulu Yam Perdana, Kuala Kubu Bharu, ranap, manakala dalam kejadian kedua pada 4 Disember lalu di Pusat Bandar Damansara di sini, 11 kereta tertimbus.

Tapak kejadian tragedi terbaru itu terletak hanya kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi tragedi Highland Towers yang mengorbankan 48 nyawa pada 11 Disember 1993.

Setakat jam 11 malam tadi, pasukan mencari dan menyelamat membabitkan kira-kira 800 pegawai dan anggota pasukan penyelamat diketuai Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berjaya mengeluarkan empat mayat, manakala usaha sedang diteruskan untuk mencari seorang lagi yang dikhuatiri tertimbus.

DATIN Jamilah Mohd Kassim pilu selepas melihat jenazah anaknya, Shaiful Khas di HKL, semalam.

Tiga mangsa ditemui antara jam 7 hingga 7.30 pagi. Mereka ialah pelajar teknologi maklumat di Kolej Yayasan Pelajaran Mara, Shaiful Khas Shahrudin, 20; doktor veterinar, N Yogeswary, 40 dan akauntan wanita, Ng Yee Peng, 30.

Shaiful Khas ditemui tertimbus di tingkat bawah rumah banglo dua tingkat milik keluarganya, Yogeswari dan Ng maut ketika cuba menyelamatkan anak masing-masing berusia 10 tahun dan dua bulan apabila dihempap dinding konkrit.

Mayat Yogeswari tiba di HKL jam 9.50 pagi, diikuti mayat Ng pada jam 10.05 pagi dan Shaiful Khas pada jam 10.37 pagi. Mayat mangsa dituntut keluarga masing-masing, petang semalam.

Mangsa keempat iaitu seorang pembantu rumah warga Indonesia dikenali sebagai Surinah, 30, pula ditemui di rumah bernombor 15 pada jam 6.30 petang. Mayatnya berjaya dikeluarkan daripada runtuhan rumah itu jam 7.45 malam sebelum dihantar ke HKL.

Dalam operasi mencari dan menyelamat bermula jam 4.15 pagi, 95 penghuni berjaya diselamatkan. Dua daripada mangsa terselamat, seorang pesakit jantung dan seorang lagi sarat mengandung dibawa ke HKL menggunakan helikopter polis.

Operasi itu disertai 14 pasukan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart), Pasukan St John Ambulans, HKL dan Hospital Ampang. Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat meninjau lokasi kejadian.

Turut meninjau tempat kejadian dan operasi menyelamat ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata pasukan mencari dan menyelamat berjaya mengesan kedudukan mangsa yang tertimbus dan dipercayai masih hidup menggunakan unit anjing dan peralatan elektronik untuk menyelamatkannya.

Sementara itu, Khalid berkata, operasi mencari dan menyelamat akan dijalankan secara berterusan selama 24 jam, sebelum memutuskan tindakan susulan.

Beliau berkata, Pasukan Gerakan Am (PGA) dikerah menjaga semua kediaman yang dikosongkan untuk mengelak pencerobohan, justeru penduduk diminta tidak khuatir mengenai keselamatan harta benda mereka.

Katanya, antara 500 hingga 600 penduduk masih belum mengosongkan rumah masing-masing meskipun sudah diminta berbuat demikian.

Pasukan Bomba dan ATM turut membuat laluan alternatif bagi membolehkan penduduk yang terperangkap keluar selepas jalan utama terputus hubungan.



PEMANDANGAN dari udara menunjukkan sebuah rumah ranap dan beberapa kereta turut musnah dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Hulu Klang, semalam.


JAMILAH (tengah) ditenangkan ahli keluarga di HKL ekoran kematian Shaiful Khas dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa semalam.

BEBERAPA kenderaan yang 'bertaburan' di sebalik sebuah banglo yang ranap ekoran kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur semalam.

SABAR...penghuni kondominium berdekatan kawasan kejadian
tanah runtuh berkumpul sebelum dibantu untuk berpindah.


BANTU...lori-lori digunakan untuk membawa tanah keluar
dari dua kawasan kejadian.

No comments: