Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Saya orang pertama tuntut bela

PULAU PINANG 29 Mei - "Kalau Chin Peng masuk ke Malaysia, sayalah orang pertama mencarinya untuk menuntut bela atas kekejaman yang dilakukan," luah pesara tentera, Yahya Shafie, 76 tahun.

Menurutnya, kekejaman Parti Komunis Malaya (PKM) tidak mungkin dilupakan oleh bekas Pegawai Waran 1 Pasukan Pertama Meriam Diraja British itu.

Katanya, walaupun sudah dimamah usia, peristiwa yang terjadi sepanjang Chin Peng dan pengikutnya mengganas di Tanah Melayu masih segar dalam ingatan dan menghantui hidupnya sehingga kini.

''Ketika di bangku sekolah saya melihat sendiri kekejaman Chin Peng terhadap orang kampung di Junjong, Kulim termasuk bapa saudara saya dibakar hidup-hidup dengan tangan terikat di stereng lorinya.

''Seluruh anggotanya rentung dan tidak dapat dikenali. Bayangkan hati saya ketika itu," katanya sebak ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seronok, Bayan Lepas di sini.

Menurut Yahya, mereka yang bersetuju Chin Peng dibenarkan pulang adalah orang yang 'buta' mata dan hati serta tidak tahu penderitaan yang dilalui penduduk ketika itu.

''Nama dia pun sepatutnya tidak boleh kita sebut, inikan pula membenarkannya masuk ke negara kita. Adakah patut orang yang membuat kita sengsara dan derita puluhan tahun lamanya, senang-senang kita terima?

''Kekejamannya tidak boleh diterima akal, saya pernah berkhidmat di Indonesia, Brunei dan Hong Kong yang ada komunis, namun kekejaman yang dilakukan Chin Peng pada rakyat Tanah Melayu tidak dapat dibayangkan," katanya yang cedera ditembak di telinga dan perut semasa berjuang menentang komunis.

Menurut beliau, soal membawa pulang Chin Peng tidak sepatutnya dibangkitkan lagi kerana perbuatan itu jelas tidak bertanggungjawab dan hanya akan membuat keluarga veteran perang yang terkorban dan cedera bangkit memberontak.

''Masih terdengar di telinga saya kata-kata Chin Peng kepada pengikutnya bahawa satu hari nanti mereka akan menakluki dunia," katanya.

No comments: