KUALA LUMPUR: Selepas dua kejadian tanah runtuh dalam seminggu, negara pagi semalam dikejutkan tragedi lebih dahsyat yang meragut empat nyawa apabila sebahagian Taman Bukit Mewah di Hulu Klang dekat sini, runtuh.
Kejadian jam 4 pagi itu menyebabkan 14 rumah banglo mewah di lereng bukit taman berkenaan ranap, mengakibatkan seorang masih tertimbus, manakala 23 lagi termasuk seorang kanak-kanak cedera dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Berikutan tragedi itu, 3,000 hingga 5,000 penduduk sekitar terputus hubungan apabila satu-satunya jalan masuk ke perumahan mereka ditimbus runtuhan tanah membabitkan kawasan seluas lebih empat hektar. Semua mereka dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara selepas beberapa runtuhan susulan dikesan.
Ketika kejadian sebahagian penduduk nyenyak tidur dan dikejutkan bunyi seperti letupan, diikuti gegaran dan pergerakan tanah yang meranapkan 14 rumah terbabit.
Pada 30 November lalu, dua beradik maut tertimbus apabila banglo setingkat di Ulu Yam Perdana, Kuala Kubu Bharu, ranap, manakala dalam kejadian kedua pada 4 Disember lalu di Pusat Bandar Damansara di sini, 11 kereta tertimbus.
Tapak kejadian tragedi terbaru itu terletak hanya kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi tragedi Highland Towers yang mengorbankan 48 nyawa pada 11 Disember 1993.
Setakat jam 11 malam tadi, pasukan mencari dan menyelamat membabitkan kira-kira 800 pegawai dan anggota pasukan penyelamat diketuai Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berjaya mengeluarkan empat mayat, manakala usaha sedang diteruskan untuk mencari seorang lagi yang dikhuatiri tertimbus.
DATIN Jamilah Mohd Kassim pilu selepas melihat jenazah anaknya, Shaiful Khas di HKL, semalam.
Tiga mangsa ditemui antara jam 7 hingga 7.30 pagi. Mereka ialah pelajar teknologi maklumat di Kolej Yayasan Pelajaran Mara, Shaiful Khas Shahrudin, 20; doktor veterinar, N Yogeswary, 40 dan akauntan wanita, Ng Yee Peng, 30.
Shaiful Khas ditemui tertimbus di tingkat bawah rumah banglo dua tingkat milik keluarganya, Yogeswari dan Ng maut ketika cuba menyelamatkan anak masing-masing berusia 10 tahun dan dua bulan apabila dihempap dinding konkrit.
Mayat Yogeswari tiba di HKL jam 9.50 pagi, diikuti mayat Ng pada jam 10.05 pagi dan Shaiful Khas pada jam 10.37 pagi. Mayat mangsa dituntut keluarga masing-masing, petang semalam.
Mangsa keempat iaitu seorang pembantu rumah warga Indonesia dikenali sebagai Surinah, 30, pula ditemui di rumah bernombor 15 pada jam 6.30 petang. Mayatnya berjaya dikeluarkan daripada runtuhan rumah itu jam 7.45 malam sebelum dihantar ke HKL.
Dalam operasi mencari dan menyelamat bermula jam 4.15 pagi, 95 penghuni berjaya diselamatkan. Dua daripada mangsa terselamat, seorang pesakit jantung dan seorang lagi sarat mengandung dibawa ke HKL menggunakan helikopter polis.
Operasi itu disertai 14 pasukan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart), Pasukan St John Ambulans, HKL dan Hospital Ampang. Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat meninjau lokasi kejadian.
Turut meninjau tempat kejadian dan operasi menyelamat ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata pasukan mencari dan menyelamat berjaya mengesan kedudukan mangsa yang tertimbus dan dipercayai masih hidup menggunakan unit anjing dan peralatan elektronik untuk menyelamatkannya.
Sementara itu, Khalid berkata, operasi mencari dan menyelamat akan dijalankan secara berterusan selama 24 jam, sebelum memutuskan tindakan susulan.
Beliau berkata, Pasukan Gerakan Am (PGA) dikerah menjaga semua kediaman yang dikosongkan untuk mengelak pencerobohan, justeru penduduk diminta tidak khuatir mengenai keselamatan harta benda mereka.
Katanya, antara 500 hingga 600 penduduk masih belum mengosongkan rumah masing-masing meskipun sudah diminta berbuat demikian.
Pasukan Bomba dan ATM turut membuat laluan alternatif bagi membolehkan penduduk yang terperangkap keluar selepas jalan utama terputus hubungan.
PEMANDANGAN dari udara menunjukkan sebuah rumah ranap dan beberapa kereta turut musnah dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Hulu Klang, semalam.
JAMILAH (tengah) ditenangkan ahli keluarga di HKL ekoran kematian Shaiful Khas dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa semalam.
BEBERAPA kenderaan yang 'bertaburan' di sebalik sebuah banglo yang ranap ekoran kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur semalam.
SABAR...penghuni kondominium berdekatan kawasan kejadian
tanah runtuh berkumpul sebelum dibantu untuk berpindah.
BANTU...lori-lori digunakan untuk membawa tanah keluar dari dua kawasan kejadian.
Sekiranya kita mula bekerja pada umur 20 tahun dan makan sebiji roti canai setiap hari, kita mungkin tidak akan hidup sehingga umur 55 tahun. Kenapa?
Sebiji roti canai mengandungi kalori sama dengan 5 KM berjogging. Maknanya sekiranya kita jogging sejauh 5 km, lepas tu kita sapu sebiji roti canai serupalah kita tak jogging langsung.Dah tu kadang-kadang sapu sampai 2 biji dan langsung tak jogging. Selain dari itu, terdapat so much oil in roti canai. Nak uli tepung, taruh minyak, nak canai, taruh minyak,nak goreng taruh minyak. Dah tu, minyak tukang roti pun masuk sekali (peluh dia).
Bila kita exercise, kita peluh. Penyakit keluar bersama peluh, itu pasal kita sihat bila berpeluh. Sekarang, kita makan tukang roti canai punya penyakit pulak. Lagi satu, jangan makan roti canai yang tukang buatnya pakai cincin sebelah kiri. Faham-faham ajelah. Sebagai alternatif, makanlah capati. Makan 8-10 keping capati sehari pun no problem, anda akan menjadi sihat dan kuat.
NASI LEMAK
Nasi lemak pulak kandungan santannya tinggi. So cholesterolnya tinggi.Prof. Ungku Aziz ditanya apakah rahsia beliau sihat physical & minda pada umur 85. Dia cakap, dia tak makan atau jarang sekali makan nasi lemak seperti kebanyakkan orang Melayu.
Senarai terbaru barangan mengandungi melamine. Menurut Kementerian Kesihatan setakat 3 November 2008, produk makanan yang telah dianalisa dan didapati TIDAK mematuhi tahap melamine yang ditetapkan adalah seperti berikut:
KUALA LUMPUR 17 Nov. - Majlis penyerahan watikah pengisytiharan Melaka dan Georgetown, Pulau Pinang sebagai tapak warisan dunia akan diadakan di Dataran Merdeka pada Ahad ini.
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dijangka berkenan menyempurnakan majlis tersebut yang akan bermula pada pukul 7.45 malam.
Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dalam kenyataannya di sini memberitahu, majlis itu diadakan bagi meraikan pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) terhadap kedua-dua bandar tersebut pada 7 Julai lalu.
"Pengiktirafan ini merupakan yang pertama kali ke atas tapak warisan di bawah kategori kebudayaan," kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, upacara penerimaan plak dan watikah pengiktirafan daripada pihak UNESCO kepada kerajaan Malaysia akan diadakan dengan penuh adat istiadat kerajaan Melayu lama termasuk perarakan bergajah dan berkuda.
"Turut diadakan perarakan dan persembahan kebudayaan dengan penyertaan masyarakat berbilang-bilang kaum dan budaya seperti perarakan Baba Nyonya, Chetti, Portugis, Chingay dan lain-lain.
"Ia bagi menonjolkan nilai warisan yang terdapat di kedua-dua negeri terbabit terutama di kawasan yang diiktiraf sebagi warisan dunia oleh UNESCO," katanya.
Selain itu, terdapat juga perarakan kereta berhias seperti pertukangan besi, makanan warisan, perusahaan tradisi dan pertukangan tangan, perarakan beca berhias, kereta lembu dan pertunjukan bunga api.
Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir untuk bersama-sama memeriahkan majlis selain berhibur bersama artis-artis jemputan seperti Alleycats, Ziana Zain dan Mila AF5.
Biskut mengandungi bahan melamin dilupuskan di Seberang Perai Utara (SPU)
BUTTERWORTH 17 Nov. - Jabatan Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara (SPU) hari ini melupuskan 12,000 kilogram biskut bernilai lebih RM83,400 kerana didapati mengandungi bahan melamin melebihi piawaian yang dibenarkan.
Proses tersebut turut membabitkan pelupusan 8,400 kilogram bahan penaik amonia bikarbonat dari China yang digunakan oleh dua buah kilang biskut di negeri bagi menghasilkan produk itu.
Pelupusan bahan berkenaan dibuat susulan pemantauan dan analisis makmal yang dilakukan jabatan itu sejak September lalu terhadap empat jenis biskut keluaran dua kilang terbabit.
Pegawai Jabatan Kesihatan SPU, Dr. Shaari Saad berkata, pihaknya juga sudah mengarahkan dua kilang berkenaan menarik balik biskut-biskut keluaran mereka dari pasaran untuk dilupuskan dalam masa terdekat.
''Kita sudah minta mereka (pengilang) supaya tidak memasarkan produk yang dicemari bahan itu (melamin) dan biskut yang sudah dipasarkan pula ditarik balik untuk dilupuskan.
''Setakat ini, dua kilang terbabit memberi kerjasama yang amat baik dan akan melupuskan sendiri biskut berkenaan dengan pemantauan Jabatan Kesihatan," katanya ketika ditemui di tapak pelupusan sampah Ampang Jajar di sini hari ini.
Kementerian Kesihatan baru-baru ini, melarang serta-merta pengimportan bahan penaik amonia bikarbonat dari China berikutan bahan itu didapati mempunyai tahap melamin melebihi piawaian yang dibenarkan.
Serentak itu, kementerian juga mengarahkan supaya 20 jenis biskut yang dikenal pasti mengandungi bahan melamin ditarik balik dari pasaran.
Dr. Shaari berkata, pelupusan biskut dan bahan penaik tersebut dilakukan mengikut Akta Makanan 1983 pindaan 2001.
Menurut beliau, pihaknya sudah menjalankan pemantauan terhadap semua jenis biskut di pasaran dan sehingga kini masih membuat pemeriksaan rutin termasuk di kedai runcit dan pusat-pusat beli-belah.
Ditanya mengenai tindakan yang akan dikenakan ke atas pengilang terbabit, Dr. Shaari berkata, kedua-dua pengilang berkenaan sudah memberi kerjasama dengan baik untuk menarik balik produk mereka dari pasaran sebelum melupuskannya.
''Mereka (pengilang) sebenarnya tidak mengetahui biskut yang mereka hasilkan mengandungi melamin yang tinggi ekoran penggunaan amonia bikarbonat berkenaan," jelasnya.
Ramai yang telah mengetahui siapa bakal Presiden Amerika Syarikat yang ke-44. Tetapi tidak ramai yang mengetahui siapa sebenarnya Barack Obama.Siapa keluarganya,latar belakang Barack Obama, biodata Barack Obama dan lain-lain lagi. Di bawah ini dinyatakan latar belakang bakal Presiden Amerika Syarikat itu.
Latar belakang
Bakal Presiden AS yang ke-44 ini mengakui beliau sememangnya melalui detik yang sukar ketika zaman kanak-kanak berikutan episod perpisahan keluarga dan perpindahan yang kerap serta melalui zaman remaja yang agak liar.
Obama dilahirkan di Pusat Perubatan Wanita dan Kanak-kanak Kapi’olani di Honolulu, Hawaii pada 4 Ogos 1961.
Bapanya Barack Hussein Obama Sr. berasal dari pekan Nyang’oma Kogela dalam wilayah Nyanza, Kenya dan berketurunan Luo, manakala ibunya Ann Dunham merupakan seorang wanita kulit putih berasal dari Wichita, Kansas.
Kedua-dua mereka bertemu ketika sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Hawaii di Manoa pada 1960 dan kemudiannya berkahwin pada 2 Februari 1961.
Bagaimanapun kedua-dua mereka berpisah pada 1964. Bapanya kemudiannya pulang ke Kenya dan hanya sempat berjumpa dengan Obama sekali sebelum meninggal dunia pada 1982 dalam satu kemalangan jalan raya.
Selepas berpisah, ibunya kemudiannya berkahwin dengan seorang lelaki Indonesia, Lolo Soetoro dan berpindah ke Indonesia pada 1967.
Bapa tirinya bekerja sebagai pegawai di pejabat Geografi dan Topografi Angkatan Darat, Tentera Nasional Indonesia (TNI).
Obama kemudian mendapat pendidikan awal di beberapa sekolah di tengah-tengah bandar Jakarta.
Sekolah pertama beliau ialah St. Francis Assisi Catholic dan Obama didaftarkan dengan nama Barry Soetoro. Obama mendaftar di sekolah ini di kelas 1B pada 1 Januari 1968 sehingga darjah tiga.
Malah berdasarkan dokumen pendaftaran, beliau telah didaftarkan sebagai seorang penganut Islam dan merupakan warganegara Indonesia.
Pada 1970, beliau berpindah ke Sekolah Rendah Percobaan Besuki, Menteng, Jakarta serta menetap di sebuah rumah sederhana di Jalan Dempo, Matraman, Jakarta.
Kenalan di sekolahnya mengenali Obama dengan nama Barry dan beliau sememangnya dikenali sebagai seorang yang peramah dan bijak.
Pengalaman beliau ketika menetap di Indonesia digunakan oleh sekutunya dalam pilihan raya ini, John McCain untuk mengaitkan Obama sebagai seorang penganut agama Islam dan merupakan pengamal setia ajarannya.
Obama menafikannya. Namun berikutan aura dan ketokohan beliau yang terlalu hebat segala taktik kotor yang digunakan oleh McCain gagal mencalarkan rekod dan kepercayaan orang ramai terhadap beliau.
Kembali ke Hawaii
Obama kemudian kembali ke Hawaii pada usia 10 tahun dan menetap bersama datuk dan neneknya.
Beliau menyambung pelajarannya di Sekolah Punahou dari 1971 hingga menamatkan sekolah tingginya pada 1979, manakala ibunya kembali ke Indonesia untuk menyiapkan tesis kedoktoran pada 1972.
Sebagai seorang remaja beliau mengakui pernah terjebak dalam kegiatan penagihan dadah seperti marijuana dan kokain ketika di sekolah tinggi serta turut terpengaruh dengan alkohol.
Namun Obama tanpa segan silu mengakui penglibatan beliau pada ketika itu merupakan kesilapan moral terbesar yang pernah dilakukan sepanjang hidupnya.
Selepas menamatkan sekolah tinggi, Obama berpindah ke Los Angeles untuk melanjutkan pengajian di Kolej Occidental selama dua tahun. Beliau kemudiannya dipindahkan ke Universiti Columbia di New York untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains politik dengan pengkhususan hubungan antarabangsa pada 1983.
Beliau kemudian meraih pengalaman bekerja di beberapa syarikat antaranya di Business International Corporation dan New York Public Interest Research Group.
Selepas empat tahun di sini, beliau kemudian berpindah ke Chicago dimana beliau dilantik sebagai pengarah projek pembangunan masyarakat di sebuah organisasi gereja di Greater Roseland pada 1985 hingga 1988.
Beliau berjaya menonjolkan kebolehannya membangunkan projek ini dari hanya seorang pekerja pada awalnya kepada 13 orang dengan bajet tahunannya meningkat dari AS$70,000 (RM224,000) kepada AS$400,000 (RM1.28 juta) serta pelbagai penambahbaikan lain antaranya program tuisyen dan latihan pekerja.
Pada 1988, Obama buat pertama kali mengembara ke Eropah selama tiga minggu sebelum pulang ke kampung halaman bapanya di Kenya selama lima minggu untuk berjumpa sanak-saudara dan ahli keluarganya di sana.
Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Undang-Undang di Universiti Harvard pada 1988 dan pada penghujung tahun pertama beliau dipilih sebagai editor di makalah Harvard Law Review berdasarkan markah dan penulisan beliau yang cemerlang.
Obama kemudiannya dipilih sebagai Presiden makalah tersebut pada tahun kedua pengajiannya, satu jawatan sepenuh masa sebagai ketua Pengarang serta bertindak memantau 80 orang editor lain di makalah tersebut.
Beliau juga mencipta sejarah sebagai presiden pertama makalah tersebut dari golongan kulit hitam. Obama berjaya menamatkan pengajiannya dengan cemerlang di universiti itu pada 1991.
Publisiti yang beliau terima sebagai presiden pertama di Harvard Law Review telah memberi kelebihan dalam perkembangan awal karier politik beliau dan pengiktirafan ini jugalah yang membuatkan beliau lebih dikenali di kalangan penduduk kulit hitam.
Dengan taraf pendidikan yang tinggi mengakibatkan beliau dilihat sangat berbeza dengan ahli politik keturunan kulit hitam sekitar tahun 1960-an yang memulakan karier mereka melalui pergerakan hak asasi manusia.
Ditambah dengan pengalaman dan kisah hidup ketika zaman kanak-kanak serta dengan sejarah keluarganya yang melangkaui sempadan benua menjadikan episod hidup Obama sebagai sesuatu yang sangat unik dan berbeza dengan pemimpin golongan kulit hitam lain.
Kehidupan berkeluarga
Obama bertemu isterinya Michelle Robinson pada Jun 1989 ketika bekerja di firma guaman Sidley Austin di Chicago.
Pada peringkat awal, Michelle yang bertugas sebagai penasihatnya di firma tersebut enggan keluar bertemu janji dan Obama hanya berjaya mengadakan temu janji yang pertama setahun kemudian.
Pada 1991, pasangan bahagia ini mengikat taki pertunangan sebelum akhirnya mereka berkahwin pada 3 Oktober 1992.
Mereka dikurniakan dengan dua anak perempuan iaitu Malia Ann yang kini berusia 10 tahun dan Natasha yang dilahirkan pada 2001.
Keunikan keluarga dan keturunan Obama sememangnya sesuatu yang sangat menarik untuk diperkatakan bilamana beliau menyifatkan ahli keluarganya sebagai “Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mini”.
Ini kerana beliau mempunyai sepupu yang kelihatan seperti pelakon Bernie Mac di sebelah bapanya dan dan makcik yang seiras dengan bekas Perdana Menteri Britain, Margeret Thatcher di sebelah ibunya.
Beliau mempunyai tujuh sepupu di Kenya dari sebelah bapanya dan seorang adik tiri, Maya Soetoro-Ng, yang dilahirkan hasil perkahwinan ibunya dengan bapa tirinya dari Indonesia.
Obama mengakui dirinya sebagai seorang penganut Kristian sejati hanya selepas beliau mencecah usia dewasa.
Obama menggambarkan beliau membesar dalam keluarga yang tidak mengamalkan fahaman agama dan menyatakan ibunya tidak mengamalkan mana-mana ajaran Kristian.
Bapanya pula telah dibesarkan sebagai seorang Muslim namun bertukar sebagai seorang “atheist” ketika kedua ibu bapanya bertemu, manakala bapa tirinya pula pula berpandangan agama sebagai sesuatu yang tidak penting.
Bagaimanapun ketika beliau bekerja di organisasi gereja pada usia sekitar 20-an, barulah beliau mengenal dengan lebih mendalam tentang pengaruh agama dalam perubahan sosial masyarakat kulit hitam dan hanya dibaptiskan pada 1988.
Beliau sememangnya dikenali dengan minat yang mendalam dalam sukan bola keranjang dan pernah menyertai pasukan sekolah tingginya.
Obama turut meluangkan masanya bermain sukan tersebut ketika melawat anggota tentera AS yang berkhidmat di Djibauti pada 2006.
Beliau juga mengakui merupakan seorang perokok tegar namun sebelum melakukan pengumuman sebagai calon Presiden bagi partinya, beliau telah mengumumkan kepada umum tentang usahanya untuk berhenti merokok.
Sebelum berkecimpung dalam politik beliau pernah menjadi pensyarah undang-undang di Universiti Chicago selama beberapa tahun.
Obama juga merupakan seorang yang aktif dalam pelbagai pertubuhan kemasyarakatan dan pernah menganggotai dan menubuhkan pelbagai pertubuhan dan yayasan. Antaranya ialah The Joyce Foundation pada 1994 hingga 2002, Chicago Annenberg Challenge dari 1995 hingga 2002, Lugenia Burns Hope, Center for Neighbourhood Technology dan Chicago Lawyers Committee for Civil Right Under Law.
Kerjaya
Beliau juga menulis beberapa buku dan jurnal dan kekayaan yang beliau miliki sebelum ini kebanyakannya diperoleh dari hasil penjualan bukunya seperti “Dreams from my father” dan “The audacity of hope”.
Beliau dikatakan memperoleh pendapatan sebanyak AS$ 4.2 juta (RM13.4 juta) pada tahun 2007 yang kebanyakannya hasil daripada penjualan buku.
Kerjaya politik Obama bermula setelah dilantik sebagai anggota Senat Illinois mewakili daerah ke-13 pada 1996 dan dilantik semula pada 1998 dan 2002.
Beliau pernah dilantik menjadi pengerusi Senat Illinois bagi Jawatan kuasa Kesihatan dan Khidmat Kemanusiaan pada 2003.
Obama kemudiannya mengumumkan akan bertanding bagi jawatan Senator bagi negeri Illinois dan akhirnya beliau menang dengan majoriti 70 peratus pada pilihan raya 2004 dengan menewaskan calon Republikan Alan Keyes.
Sebaik mengangkat sumpah jawatan tersebut pada 4 Januari 2005, Obama mencatat sejarah sebagai orang kulit hitam kelima dipilih memegang jawatan Senator di AS.
Bagaimanapun cita-cita Obama tidak terhenti setakat itu apabila beliau mengumumkan akan bertanding bagi jawatan Presiden dari Demokrat pada 2007 dan antara calon-calon lain ketika itu termasuklah bekas wanita pertama AS, Hillary Clinton.
Setelah melalui pertarungan sengit Obama akhirnya dipilih oleh anggota Demokrat pada 3 Jun sebagai calon parti itu untuk pilihan raya Presiden dengan majoriti besar.
Dalam Konvensyen Demokrat pada 25 hingga 28 Ogos 2008 Obama memilih Senator berpengalaman dari Delaware, Joe Biden sebagai calon Naib Presiden.
Sepanjang berkempen Obama sentiasa mendahului McCain dalam pelbagai perkara sama ada dari segi populariti, jumlah dana yang diperoleh malah tidak pernah sekalipun McCain mendahului Obama dalam tinjauan pendapat yang dilakukan.
Akhirnya takdir menyebelahi Obama, calon yang dilihat sebagai sangat berkarisma dan mampu membantu menyelesaikan kemelut yang melanda negara ini apabila beliau diisytiharkan sebagai pemenang pilihan raya Presiden AS dengan membolot 349 undi Badan Perwakilan Pemilih berbanding McCain yang hanya memperoleh 163 undi.
Dengan kos perbelanjaan untuk pilihan raya ini yang mencecah lebih AS$1 bilion, jumlah paling besar dalam sejarah pilihan raya, calon pilihan ramai ini berjaya memperoleh kemenangan seperti yang dijangka.
Ini sekali gus mencatat sejarah bahawa warna kulit dan keturunan tidak pernah menjadi halangan untuk melayakkan seseorang itu untuk menjadi antara pemimpin yang hebat seperti yang pernah berlaku dalam lipatan sejarah dunia sebelum ini.
Ramai rakyat Malaysia yang tertunggu-tunggu kelahiran MPV Proton(Proton MPV) yang pertama.Banyak gambar-gambar yang disiarkan di internet.Mungkinkah gambar di bawah ini MPV Proton yang pertama ? Apapun kita mengharapkan MPV Proton berkualiti dan harganya pula berpatutan
SENARAI BARANGAN DISYAKI MENGANDUNGI BAHAN MELAMINE
Senarai produk yang ditarik balik ialah Malted Soya Bean Milk, Toffee Miz (mixed fruit), Assorrted Chocolate, Disney Chocolate, Peanut Noughts, Crispy Centre Filled Chocolate, Baby Bites, White Rabbit, Party Animals (Banana Milk Flavoured Biscuits), Party Animals (Coconut Flavoured Biscuits), White Chocolate Oreo Wafer Sticks, Milk Peanut Protein Drink, Party Animals Choco Dip Biscuits, Party Animals Strawberry Choco Dip Biscuits, Pretz, Choco Chip Cookies, Yili Pure Milk dan Vita Soy.
Kerajaan hari ini mengumumkan penurunan harga runcit minyak petrol dan diesel berkuatkuasa tengah malam ini.
Harga petrol RON97 akan dikurangkan sebanyak 15 sen seliter dari RM2.45 kepada RM2.30 seliter;
Manakala petrol RON92 akan dikurangkan sebanyak 10 sen seliter dari RM2.30 kepada RM2.20 seliter.
Manakala harga diesel akan dikurangkan sebanyak 20 sen seliter dari RM2.40 kepada RM2.20 seliter.
Penurunan harga minyak itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.
Dalam kenyataannya, perdana menteri berkata, kerajaan telah melaraskan harga runcit petrol pada 23 Ogos dan 24 September lalu.
“Oleh kerana harga minyak dunia telah menurun secara ketara akhir-akhir ini, kerajaan telah membuat keputusan untuk mempercepatkan pengurangan harga runcit bagi membolehkan orang ramai menikmatinya dengan lebih segera,” katanya.
Jawapan : Melamine adalah bahan organik yang antara kegunaannya ialah dalam pembuatan plastik, bahan pembersih, gam, baja dan lainlain. Melamine adalah bahan yang tidak dibenarkan di dalam semua makanan.
2. Mengapa Melamine dikesan di dalam susu dan hasilan susu?
Jawapan : Ia ditambah secara sengaja untuk meningkatkan tahap nitrogen bagi mematuhi standard kandungan protein dalam susu. Penambahan Melamine dalam makanan adalah menyalahi undang-undang di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
3. Apakah kesan Melamine kepada manusia? Jawapan :
Kesan melamine secara langsung mengakibatkan iritasi apabila terhidu dan bersentuhan dengan kulit atau mata. Pengambilan melamine melalui makanan boleh mengakibatkan kerosakan pada sistem pembiakan pembentukkan batu karang dalam ginjal dan pundi kencing. Ini boleh mengakibatkan kegagalan ginjal terutamanya kepada bayi. Sebagai langkah proaktif, Kementerian Kesihatan ingin menasihati semua pakar perubatan dan pegawai perubatan agar sentiasa berjaga-jaga dan memantau gejala masalah buah pinggang seperti bayi menangis tanpa sebab ketika kencing, kencing berdarah, dan tekanan darah tinggi pada bayi. Keadaan ini jarang berlaku dan sekiranya mengesyaki gejala ini di kalangan kanak-kanak perlulah melaporkan kepada KKM dengan segera.
4. Adakah susu tepung formula bayi, dan susu dari Negara China di bawa masuk ke Malaysia?
Jawapan :
Malaysia tidak mengimport sebarang susu tepung formula bayi dan susu dari Negara China.
5. Adakah hasilan susu dari Negara China di bawa masuk ke Malaysia?
Jawapan :
Malaysia ada mengimport hasilan susu dari Negara China, walaubagaimanapun, bekalan susu diimport dari Australia, New Zealand, Nertherland dan Amerika Syarikat. Ini merupakan syarat oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar dalam mengeluarkan permit bagi hasilan susu yang diimport dari Negara China oleh kerana risiko penyakit kaki dan mulut pada ternakan lembu di negara tersebut.
6. Apakah yang dimaksudkan susu dan hasilan susu?
Jawapan :
Merujuk kepada Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, susu didefinisikan sebagai susu biasa yang bersih dan segar daripada lembu, kerbau, kambing atau biri-biri.
Hasilan susu didefinisikan sebagai apa-apa produk yang dihasilkan atau disediakan daripada susu. Contohnya: i. Susu skim (susu tanpa lemak) ii. Susu pasteur iii. Susu UHT iv. Susu berperisa v. Susu tepung krim vi. Susu tepung skim vii. Susu sejat viii. Susu pekat manis ix. Mentega x. Keju xi. Ais krim xii. Yogurt xiii. Ghee (minyak sapi)
7. Apakah peranan anda sebagai pengguna dalam hal ini?
Jawapan :
Pengguna diminta mendapatkan maklumat terkini dari Kementerian Kesihatan Malaysia (website/telefon/kenyataan akhbar). Pengguna dinasihatkan membaca label makanan sebelum membeli. Sekiranya pengguna masih ragu-ragu, sila hubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03- 88833655/0388833503 untuk membuat aduan dan mendapatkan maklumat lanjut.
Chikungunya adalah sejenis penyakit bawaan nyamuk.Chikungunya pertama kali dikesan melalui ujian darah di Tanzania pada tahun 1953. Semenjak itu ia berlaku di negara-negara Afrika, Asia dan akhir-akhir ini ia berlaku di beberapa buah tempat di Negara Eropah. Ia endemik (selalu berlaku) di kebanyakan negara Sub Sahara Afrika, India, Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina.Ia bukanlah satu penyakit misteri yang tidak diketahui puncanya.
2. Bagaimana penyakit ini boleh berlaku?
Chikungunya adalah demam yang disebabkan oleh virus daripada genus Alphavirus di dalam keluarga Togaviridae.
3. Adakah ia berjangkit?
Ya. Virus Chikungunya berjangkit melalui gigitan nyamuk Aedes albopictus atau Aedes aegypti yang membawa virus tersebut. Nyamuk Aedes juga menyebarkan virus penyakit demam denggi.
4. Apakah masa pengeraman bagi Chikungunya?
Masa pengeraman bagi Chikungunya boleh menjangkau dari 3 hingga 12 hari tetapi pada kebiasaannya di antara dari 3 hingga 7 hari.
5. Apakah tanda-tanda dan gejala penyakit ini?
·Demam panas mengejut
· Sakit teruk pada sendi
· Ruam pada badan
· Sakit kepalaSeorang pesakit boleh demam dari dari 1 hingga 7 hari (kebiasaannya 5 hari).
Penyakit Chikungunya boleh disalah anggap sebagai demam denggi kerana tanda-tanda penyakit yang menyerupai demam denggi.
6. Adakah penyakit ini boleh membawa maut?
Di Malaysia, Chikungunya tidak pernah dilaporkan boleh menyebabkan pendarahan atau kematian. Tetapi, sesetengah pesakit mengalami gejala yang berpanjangan.Pesakit yang berumur boleh mengalami kesakitan berulang pada sendi sehingga beberapa bulan atau tahun.
7. Apakah rawatan bagi penyakit ini?
Seperti penyakit-penyakit yang disebabkan oleh virus, ia tiada rawatan yang khusus. Selalunya rawatan diberi berdasarkan gejala klinikal yang dialami oleh seseorang pesakit.Kebanyakan kes yang terjadi hanya memerlukan rawatan pesakit luar sahaja.Tiada vaksin bagi penyakit ini.
8. Apakah yang perlu dilakukan jika dijangkiti penyakit?
Jika mengalami tanda-tanda dan gejala penyakit Chikungunya, orang ramai adalah dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat.
9. Cara pencegahan penyakit Chikungunya · Bersihkan kawasan rumah dan persekitaran supaya bebas daripada tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes. Ini boleh dilakukan melalui aktiviti gotong royong. Adalah terbukti tiada kes baru yang dilaporkan di kawasan-kawasan yang melakukan gotong- royong.
·Periksa rumah dan persekitaran sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk memastikan tiada pembiakan nyamuk Aedes.
·Dapatkan rawatan dengan segera di klinik atau hospital berdekatan sekiranya mengalami tanda dan gejala penyakit.
10. Bolehkah kawasan saya dijangkiti penyakit Chikungunya?
Boleh, kerana penyakit ini dibawa oleh nyamuk Aedesalbopictus dan Aedes aegypti yang terdapat di negara kita.
11. Situasi semasa penyakit Chikungunya di seluruh negara
Sila rujuk kenyataan akhbar.
Untuk maklumat lanjut sila hubungi:
Bilik GerakanBahagian Kawalan PenyakitKementerian Kesihatan MalaysiaAras 3, Blok E10, Parcel E,Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan62590 PutrajayaNo.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan keputusan penting yang ditunggu-tunggu - melepaskan jawatan nombor satu Umno enam bulan lagi apabila tidak bersedia bertanding dalam pemilihan parti itu Mac tahun depan.
Beliau juga akan melepaskan jawatan perdana menteri dan menyerahkan kuasa kepada timbalannya pada Mac apabila Datuk Seri Najib Razak dijangka dipilih sebagai presiden baru parti itu.
Keputusan perdana menteri itu yang diumumkan dalam taklimat Dewan Tertinggi BN petang ini sudah dijangka sejak keputusan terbaru mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) bulan lepas.
Abdullah pada awalnya dijadual meninggalkan jawatan nombor teratas Umno, dan perdana menteri, pada pertengahan 2010.Mesyuarat BN itu yang bermula selepas jam 3.30 petang masih lagi berlangsung ketika ini.Sementara itu, sekumpulan penyokong Abdullah berhimpun di luar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, tempat berlangsung mesyuarat berkenaan.
Mereka membawa kain rentang yang menggesa Abdullah untuk terus memegang jawatan berkenaan sehingga 2010 seperti dijadual pada mulanya.Kain rentang tersebut berbunyi: 'Hormati peralihan kuasa, elak perpecahan lagi', dan 'Pak Lah, teruskan perjuangan'. Mereka turut melaungkan 'Hidup Pak Lah' dan 'Pak Lah presiden, Najib timbalan'.
BARANGKALI selepas cuti Aidilfitri, ada antara kita tidak berani melihat baki wang simpanan dalam akaun bank. Kenyataan yang perlu dihadapi mungkin tidak akan menenangkan hati - sama ada baki wang tidak mencukupi untuk bertahan hingga akhir bulan atau lebih menakutkan, tiada langsung baki simpanan.
Begitulah impak Aidilfitri yang hadirnya setahun sekali. Ramai pada mulanya sakan menyambut Hari Raya penuh bergaya. Sejak bulan puasa lagi hingga berlarutan kepada beberapa minggu pertama Syawal, wang tidak putus-putus keluar dari dalam dompet. Pengguna lazimnya tidak begitu memikirkan soal perancangan kewangan pada musim perayaan. Disebabkan itulah perbelanjaan menjadi tidak terkawal atau berlebihan pada musim begini.
Oleh kerana wang simpanan makin menipis, ramai mula risau nasib diri serta memikirkan bagaimana hendak menjalani kehidupan dengan baki simpanan yang tidak seberapa itu.
Tidak hairanlah timbulnya jenaka sinis menyindir segelintir orang yang dikatakan terpaksa berpuasa semula selepas Aidilfitri kerana sudah ‘berhabisan’ ketika beraya.
Tidak dinafikan, ramai memilih untuk berpuasa seawal minggu kedua Syawal iaitu selepas kembali bekerja. Golongan ini bukan saja ingin menunaikan puasa sunat tetapi juga kerana keadaan kewangan yang memaksa mereka berbuat demikian. Bagi mereka, baiklah berpuasa sementara menanti gaji seterusnya.
Jika tidak berpuasa pun, anda sebenarnya boleh berjimat dengan membawa bekalan makanan dari rumah ataupun mengurangkan belanja membeli makanan ketika bekerja. Rasanya, tidak terlalu sukar untuk anda melakukannya kerana kita baru saja selesai menunaikan ibadat berpuasa.
Minggu ini, XY - Ikon Lelaki berkongsi tip ‘diet perbelanjaan’ bagi mereka mengalami sindrom ‘kering’ selepas raya. Jika berdisiplin dalam mengamalkan diet ini, tidak mustahil kedudukan kewangan anda akan kembali stabil selepas musim perayaan.
Pertama sekali, mulakan diari kewangan anda sendiri. Keluarkan semua penyata bank, resit pembelian dan bil berkaitan serta semak perjalanan keluar masuk wang anda setiap bulan. Apabila anda mempunyai rekod penggunaan wang, lebih mudah bagi anda mengesan jumlah wang yang sering dibazirkan. Melihat jumlah wang yang dapat dijimatkan dalam setahun juga dapat mendorong anda meneruskan diet perbelanjaan ini.
Walaupun agak ‘sesak’ sekarang, tanggungan hutang tidak boleh diambil ringan. Hadapi hutang anda dengan memberi tumpuan kepada bahagian tertentu dalam perbelanjaan yang boleh anda baiki. Ini termasuk hutang kad kredit yang lama tertunggak hingga kadar faedah terkumpul. Lebih lama anda menangguhnya, lebih banyak kadar faedah yang dikenakan. Ini tentunya menambah masalah kewangan anda kelak.
Jika anda pemegang insurans, pastikan bayaran bulanan anda didahulukan berbanding perbelanjaan lain. Ini kerana, sesetengah syarikat insurans akan menamatkan perlindungan insurans jika terdapat tunggakan. Ini agak berisiko kerana anda mungkin tidak memiliki sumber kewangan lain jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Penting juga untuk anda mengurangkan penggunaan telefon atau internet yang dicaj mengikut kadar guna. Anda harus tentukan penggunaan yang perlu serta yang tidak penting. Sebab itulah ada baiknya anda melanggan perkhidmatan yang membolehkan anda berjimat
Selain itu, amalkan jimat-cermat dalam menggunakan kuasa elektrik dan air di rumah. Sekurang-kurangnya, jumlah tanggungan bil anda dapat diringankan.
Mungkin pada waktu kesempitan wang begini, anda boleh menangguhkan sementara perbelanjaan aktiviti riadah seperti bayaran gimnasium, yuran bulanan kelab rekreasi dan sebagainya. Anda boleh menyambungnya semula apabila keadaan sudah mengizinkan.
Seperkara lagi, jangan lupa, biarpun keadaan kewangan anda agak tidak stabil selepas hari raya, anda masih perlu menyimpan sedikit daripada pendapatan yang diterima. Ia memang berguna pada saat kecemasan nanti.
Apapun, anda wajar berfikir setiap kali hendak membelanjakan wang untuk sesuatu perkara. Elak membeli barang tidak perlu atau bermewah-mewahan tanpa sebab.
Tetapkan juga tahap mana atau secepat mana anda mahukan kedudukan kewangan anda kembali pulih. Juga tentukan jumlah wang harus ada dalam akaun simpanan anda dalam sesuatu tempoh. Bila berbuat demikian, anda akan lebih disiplin dalam mengikut perancangan atau ‘diet perbelanjaan’ yang sudah disenaraikan.
Tip diet perbelanjaan
Rekodkan penggunaan wang membabitkan pengaliran wang masuk dan keluar.
Utamakan pembayaran hutang walaupun dalam keadaan terdesak. Hutang bertampuk menambah kekusutan ekonomi anda.
Kurangkan penggunaan telefon bimbit dan internet jika anda mampu lakukan.
Kurangkan aktiviti riadah bersama teman seperti mengunjungi pusat hiburan karaoke atau melepak tanpa tujuan.
Jimatkan penggunaan tenaga elektrik dan air.
Simpan sedikit gaji bulanan untuk waktu memerlukan.
Tentukan jumlah wang perlu ada setiap bulan sebagai simpanan waktu sesak.
JOM BUAT BISKUT RAYA
Mini Almond Blackcurrant Muffin
Bahan-bahan ( 30 biji )
130gram mentega
100gram gula kastor
1/2 sudu kecil esen vanilla
2 biji telur
2 sudu besar susu segar
4 sudu besar yogurt blueberry
250gram tepung naik sendiri
1½ sudu kecil baking powder
25gram badam cincang
30gram blackcurrant
Cara-cara
Ayak tepung bersama baking powder. Kemudian, masukkan badam cincang.
Pukul mentega, gula kastor dan esen vanilla. Masukkan telur. Pukul lagi.
Masukkan pula tepung tadi.
Satukan susu, yoghurt & blackcurrant. Campurkan ke dalam adunan tadi. Kacau sehingga sebati.
Tuangkan adunan muffin ke dalam acuan mini. Taburkan sedikit badam di atasnya.
Bakar pada suhu 150C selama 20 minit.
Biskut Chocolate-Chips
Bahan-bahan ( 150 Biji & more )
8 ozs butter
5 ozs castor sugar
1/2 sudu teh bicarbonate of soda
1 sudu teh cream of tartar
sedikit garam
1 cawan Milo
10 ozs tepung self-raising
6ozs Hershey's semi-sweet mini chocolate -chips
1 sudu teh vanilla essence
1 biji kuning telur
Cara-cara
Pukul mentega, gula, garam, vanilla, cream of tartar dan bicarbonate of soda sehingga sebati.
Masukkan Milo, telur dan chocolate chips. Kacau hingga rata.
Masukkan tepung self-raising. Bentuk mengikut citarasa anda.
Bakar pada suhu 150C selama 20 minit atau sehingga biskut keperang-perangan.